• Sun. Oct 6th, 2024

TOBISA sokong penuh Marcel Jude dihadapkan ke MAN dan dikenakan ‘sogit’

KOTA BELUD 15 Jun 2021 – Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) menyokong penuh gesaan Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar Peguam Marcel Jude Joseph perlu dihadapkan ke Mahkamah Anak Negeri dan dikenakan ‘sogit’.

Presidennya, Muji NC Ampau, berkata, tindakan itu wajar kerana Marcel Jude  telah melanggar adat istiadat masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) menerusi kenyataannya yang menghina pertandingan ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau, baru-baru ini.

Menurut Muji, Marcel Jude itu bukan saja melanggar adat istiadat masyarakat KDM, malah kenyataan dalam nota hujahnya yang menyamakan acara ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dengan ‘persembahan lembu eksotik’  dan ‘acara lelong’, adalah melampau selain merendahkan maruah, menghina dan memfitnah terhadap budaya masyarakat KDM.

“Dia (Marcel Jude) tidak sensitif terhadap budaya kita, malah dia telah menyinggung serta mengguris perasaan pelbagai pihak termasuk suku Tobilung.

“Suku Tobilung yang juga sebahagian rumpun Dusun turut terkesan ekoran kenyataan Marcel Jude, ini kerana Tobilung juga menganjurkan Pertandingan Randawi Lundu atau Unduk Ngadau setiap kali Pesta Monguyas Norurip (Pesta Kaamatan), katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, walaupun Marcel Jude sudah tampil  memohon maaf secara terbuka atas bahagian dalam penghujahan mahkamahnya, namun dia wajar dihadapkan ke Mahkamah Anak Negeri, sepertimana yang dikatakan oleh Pairin, yang Juga Presiden KDCA.

“Sebagai seorang peguam, Marcel Jude sepatutnya lebih peka sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum khususnya di negeri Sabah yang terdiri pelbagai etnik dan budaya” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Muji serta kepimpinan TOBISA, menyokong semua usaha organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menentang sebarang perkara atau tindakan yang menjatuhkan imej  mana-mana kaum di Sabah.-BDB